rasanya baru semalam kita kenal. berborak tanya nama, kegemaran dan kita ketawa atas persamaan kita. kemudian kita berjanji untuk bertemu lagi. masa berlalu dan hubungan kita makin rapat. orang sekeliling mula nampak keakraban hubungan kita dan gosip mula tersebar di sekeliling kita. kita diam. mungkin menyetujui khabar angin itu tapi masih menunggu pihak lagi satu memberi tindak balas yang positif.
aku tersenyum, kau tersenyum. telefon bimbit tak pernah lepas dari tangan kerana menantikan mesej atau panggilan dari kau. senyum tak pernah lekang dari bibir bila setiap kali aku terima mesej kau atau menjawab panggilan dari kau.
manis. itu yang kita rasakan.
kau bertanyakan aku soalan itu. jantung aku berdegup pantas dan aku tersenyum gembira. seolah impian jadi kenyataan. mesej dan panggilan datang bertubi tubi dari kau. kau ambil berat tentang segalanya dan aku terharu. kau nampak semakin sempurna pada kaca mata aku.
masa berlalu dan hubungan kita semakin stabil. kau tak seperti mula mula kita kenal. kau sudah jarang menghantar mesej dan membuat panggilan kepada aku. aku masih lagi menanti bersama telefon bimbit dalam tangan. adakah kau sudah bosan dengan aku?
pada tahap ini, jangan salahkan aku apabila aku juga mula meragam. aku takut, aku keliru, aku ingin tahu apa punca kepada perubahan sikap kau. aku tanyakan pada kau. kau berlagak seperti kau tidak pernah berubah dan seolah itu memang diri kau yang sebenar. aku semakin keliru. aku mahukan jawapan yang pasti.
hati aku retak sedikit demi sedikit. tetapi aku masih kuat untuk bertahan.
kau ada di depan mata, tapi aku dapat rasakan seolah kita semakin menjauh. aku masih tak jemu menghantar mesej dan membuat panggilan kepada kau. aku masih tersenyum setiap kali kau menjawab mesej dan panggilan aku.
dan kita mula bergaduh tentang hal hal kecil. aku tau sesuatu sedang berlaku tapi aku masih tak nampak. adakah kau rimas dengan aku? kau semakin jauh berbeza berbanding lelaki yang mula mula aku kenal dulu.
putus. itu kata akhir dari kau. jantung aku berdegup dengan pantas. degupan ini sangat berbeza berbanding degupan ketika kita mula mula berkenalan. jauh berbeza. degupan ini menyakitkan. t.o.l.o.n.g h.e.n.t.i.k.a.n k.e.s.a.k.i.t.a.n i.n.i
dan sekarang kau bersama wanita itu. aku cuba memberikan senyuman yang paling manis pada kau. aku tidak mahu kau tahu tentang kewujudan luka dalam hati aku ini.
dalam diam aku ketawa. dulu kita mesej dan berborak setiap hari dan setiap masa seolah olah kita adalah manusia yang paling rapat di dunia dan sekarang kita seolah olah dua orang yang saling tidak mengenali.
biarkan aku mencari jalan sendiri. aku doakan kebahagiaan kau kekal dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment