Ada seorang gadis yang dibenci semua orang. Namun, dia mempunyai seorang teman yang bagi dirinya, seorang yang teramat baik. Seorang teman yang disanjung. Seorang teman yang amat dipercayai. Gadis ini sanggup dimarahi emak pulang lewat kerana membantu temannya. Walaupun dia pelik dan tidak tahu punca sebenar dia dibenci semua orang, dia tetap meneruskan hidup seperti biasa dan beranggapan, inilah takdir hidup dia.
Adakalanya dia termenung dan berfikir, kenapa takdir aku sebegini? Namun dia tiada jawapan. Jauh di sudut hati, dia bersyukur, meski semua orang membenci dia, dia masih memiliki seorang teman yang sudi meneman dan berkawan dengan dia. Tempat meluah dan berkongsi segala rahsia dan tekanan.
Gadis ini bukanlah dalam kategori hodoh atau bodoh kerana masih mendapat perhatian jantina yang berlawanan, cuma mungkin dia seorang yang kurang mengambil berat tentang orang lain. Dunia dia hanyalah keluarga dan temannya itu.
Pernah juga si gadis bertanya pada temannya itu, "Kenapakah mereka seakan membenci diriku?" Temannya itu hanya berkata,"Biarkan mereka. Manusia memang sebegitu." Si gadis diam tanpa kata.
Suatu hari, si gadis bosan kerana temannya tiada. Sementara menunggu temannya itu pulang, si gadis merasa mengantuk dan mencari tempat yang membolehkan dia tidur meski untuk 2 saat. Si gadis tersenyum gembira apabila ternampak suatu tempat yang tersorok dan tiada siapa akan nampak dia tidur. Si gadis dengan segera pergi ke tempat itu sebelum ada sesiapa nampak.
Belum sempat si gadis tidur, si gadis terdengar sayup-sayup suara temannya ketawa. 'Teman sudah pulang,' bisik hati si gadis gembira. Si gadis masih kekal di tempat persembunyian itu dengan harapan dapat mengejutkan temannya nanti.
Belum sempat si gadis mengejutkan temannya itu, si gadis ternampak teman bersama teman-teman yang lain. Teman-teman yang membenci dirinya itu. Si gadis pelik dan terus menunggu di tempat persembunyiannya. Niat untuk mengejutkan temannya itu terus terkubur begitu sahaja.
Si gadis masih lagi di tempat persembunyian apabila si gadis dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan teman baiknya itu. Teman sedang menceritakan segala rahsia dirinya dan bertapa bencinya teman pada dirinya kepada mereka. Si gadis terus terkaku. Si gadis terasa seperti satu bebanan menghempap dirinya. Hatinya luka. Satu-satunya teman yang dia anggap seperti malaikat yang turun dari langit rupanya benci pada dirinya.
Si gadis keluar dari tempat persembunyian dengan niat untuk berdepan dengan temannya itu. Sebaik nampak muka temannya itu, si gadis terdiam. Seluruh alam seolah sepi seketika. Si gadis nampak riak muka temannya itu seperti tergamam melihat dirinya. Si gadis tidak sanggup berdepan dengan temannya kerana masih memikirkan segala pertolongan dan kenangan teman bersama dirinya. Si gadis terus pergi dengan hati yang luka.
Buat beberapa ketika, si gadis hilang minat untuk mempunyai teman rapat kerana si gadis tidak sanggup untuk menghadapi itu semua. Buat beberapa ketika, dunia si gadis seolah hancur. Si gadis menyalahkan dirinya. Si gadis meneruskan hidup tanpa bergantung pada sesiapa.
Sehinggalah pada suatu hari, muncul seorang teman menghulurkan tangan bersama senyuman manis dan tampak ikhlas di mata si gadis. Si gadis seolah terlupa pada kisah dan sejarah dirinya. Si gadis kini memiliki teman baru.
Namun si gadis mengambil masa yang agak lama untuk mempercayai temannya itu. Sehinggalah pada suatu hari, teman berkongsi masalah dan rahsianya pada si gadis. Kemudian si gadis pula berkongsi masalah dan rahsia pada teman barunya kerna beranggapan bahawa teman barunya itu ikhlas berkawan dengan dirinya. Tidak mungkin teman barunya itu sama seperti teman lamanya itu. 'Bukan semua orang sama,' fikir si gadis.
Sehingga pada suatu hari, seorang teman sepejabat/sekelas bertemu si gadis dan terus menegur si gadis. Kisah si gadis dibuka. Teman sepejabat/sekelas bertanyakan kebenarannya. Si gadis terkaku. Si gadis terdiam. Si gadis terkejut. Si gadis terluka lagi. Kepercayaannya dipijak seperti sampah lagi.
No comments:
Post a Comment